Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat

LocalSports
28 May 2026 • 11:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat
Pada Rabu, operasi SAR menerima petunjuk baharu apabila sebotol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik mangsa ditemui di laluan menuju ke Gunung Rayu.

TAPAH - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lalu telah bermalam di puncak gunung bagi mempergiat usaha pencarian di kawasan sukar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, seramai 36 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi yang kini tertumpu di sekitar Gunung Batu Putih, Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.

Menurutnya, kesemua pasukan terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan serta Malim Gunung Perhutanan berada di kawasan puncak itu sejak Rabu bagi memudahkan operasi diteruskan tanpa gangguan.

“Bagi pasukan JBPM, satu tindakan membuka ‘winching point’ di Kem Salai Matahari yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 100 kaki persegi telah diusahakan.

“Langkah ini diambil bagi memudahkan pergerakan keluar masuk pasukan penyelamat sekiranya bantuan pesawat udara diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pembukaan laluan tersebut juga penting memandangkan ‘winching point’ sedia ada di Puncak Bukit Batu Putih dan Puncak Bukit Berapit 2 memerlukan masa perjalanan yang jauh untuk sampai ke lokasi pencarian semasa.

Pada Rabu, operasi SAR menerima petunjuk baharu apabila sebotol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik mangsa ditemui di laluan menuju ke Gunung Rayu.

Penemuan itu menguatkan kemungkinan mangsa telah tersasar daripada laluan asal pendakian.

Terdahulu, Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu.

View Original Article