Pasukan skuasy wanita, lelaki mudah lepasi halangan pertama

28 Sep 2026 • 2:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pasukan skuasy wanita, lelaki mudah lepasi halangan pertama

PETALING JAYA: Pasukan skuasy wanita kebangsaan bermula garang bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada temasya lalu, selepas membenam Macau 3-0 dalam aksi Kumpulan A pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2028 di Nagoya, Jepun, hari ini.

Rachel Arnold yang terlebih dahulu turun ke gelanggang menewaskan Cao Chi Cheng 11-6, 11-7, 11-8 dalam masa 18 minit di Nagoya Kinjo Futo Arena.

Pemain muda, Aira Azman turut melakar kemenangan ke atas Liu Kwai Chai 11-5, 11-2, 11-2 dalam masa 14 minit, manakala, kakaknya, Aifa menundukkan Yeung Wai Ling 11-6, 11-3, 11-4 dalam masa 15 minit.

Kemenangan itu telah melayakkan skuad wanita yang diletakkan sebagai pilihan pertama menempah laluan ke suku akhir dengan hanya satu perlawanan berbaki menentang Singapura, esok.

Malaysia yang dijangka tidak berdepan masalah mengetepikan Singapura, bakal mengesahkan status selaku juara Kumpulan A sebaik pertembungan itu berakhir nanti.

Sementara itu, dalam saingan berpasukan lelaki, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C sebagai pilihan ketiga/empat mudah meraih kemenangan ke atas Thailand 3-0.

Pasukan negara membuka aksi mereka menerusi Mohammad Syafiq Kamal yang tidak menghadapi masalah menyingkirkan Arkaradet Arkarahirunya 11-3, 11-3, 11-5 dalam masa 18 minit.

Sejurus selepas itu, seorang lagi perseorangan Malaysia, Sanjay Jeeva masuk ke gelanggang dan dia mudah menumpaskan Ravipun Limphaiboon 11-3, 11-0, 11-4 dalam masa 14 minit.

Pemain muda, C. Ameeshanraj memastikan Malaysia menutup aksi menentang Thailand dengan kemenangan 3-0 selepas membenam Thitivuth Yingcharoen 11-3, 11-1, 11-4 dalam masa 18 minit.

Pada petang ini, pukul 4.30 petang (waktu Malaysia), skuad lelaki negara akan turun sekali lagi menentukan sama ada mereka mampu muncul selaku juara atau naib Kumpulan C dengan slot suku akhir telahpun berada dalam genggaman. – UTUSAN

The post Pasukan skuasy wanita, lelaki mudah lepasi halangan pertama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved