Patut harumkan nama, bukannya busukkan Malaysia

19 Sep 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Patut harumkan nama, bukannya busukkan Malaysia
Pihak berkuasa Singapura menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun, kedua-duanya rakyat Malaysia kerana cuba menyeludup dadah dipercayai ganja seberat kira-kira 10 kilogram. Gambar hiasan

KITA mungkin pergi ke negara orang sebagai pelancong, pekerja atau atas urusan tertentu.

Bagaimanapun, apabila melakukan onar, jangan lupa bahawa nama Malaysia turut disebut bersama.

Perkara ini wajar direnungkan, apatah lagi kita baru sahaja menyambut Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Dalam kita meraikan semangat cintakan negara, masih ada rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah khususnya berkaitan dadah.

Terbaharu, dua rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan di Singapura selepas dipercayai cuba menyeludup lebih 10 kilogram.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata ,dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih S$203,000 (kira-kira RM649,000) dan boleh digunakan oleh 1,450 penagih selama seminggu.

Sebelum ini juga terdapat laporan rakyat Malaysia ditahan di Thailand dan Indonesia berkaitan kes dadah.

Sudah tentu, setiap individu yang ditahan masih perlu melalui proses undang-undang dan tidak wajar dihukum melalui persepsi semata-mata.

Pada masa sama, ada rakyat Malaysia yang mungkin menjadi mangsa sindiket atau diperdaya untuk membawa barangan terlarang.

Bagaimanapun, mesejnya tetap jelas.

Jangan kerana mahu mendapatkan wang mudah, maruah diri, keluarga dan nama Malaysia menjadi taruhan.

Rakyat Malaysia sepatutnya dikenali kerana sikap baik, kejayaan, keramahan dan integriti, bukan kerana terpalit dengan jenayah.

Kita patut harumkan nama Malaysia, bukannya membusukkannya.

Sebagai rakyat Malaysia, ia sudah menjadi tanggungjawab semua menjaga nama negara, walau di mana kita berada.

Jika tidak mampu mengharumkan nama Malaysia di bumi orang, jangan pula menjadi punca nama negara tercalar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved