PBAPP raih rekod MBOR untuk Loji Rawatan Air Sungai Dua

LocalEnvironment
26 Sep 2026 • 10:22 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: PBAPP raih rekod MBOR untuk Loji Rawatan Air Sungai Dua

Loji Rawatan Air Sungai Dua PBAPP mencipta tiga rekod MBOR, termasuk kapasiti pemulihan air tertinggi dan sifar pelepasan sisa di Malaysia.

BUKIT MERTAJAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang dikendalikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mencipta tiga rekod yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR), termasuk sebagai LRA dengan kapasiti pemulihan air tertinggi di negara ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata loji berkenaan turut diiktiraf sebagai LRA pertama yang mencapai sifar pelepasan sisa dan pertama yang mencatatkan sifar kehilangan air di loji.

“Pengiktirafan berprestij ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan. Lebih bermakna, pengiktirafan ini turut diperoleh atas pencapaian berteraskan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian pengiktirafan MBOR kepada PBAPP di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan dan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Christopher Wong Hong Wai.

Chow berkata pencapaian itu membuktikan PBAPP sentiasa meneroka pendekatan baharu dalam industri bekalan air, selain mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan syarikat berkenaan dalam meningkatkan perkhidmatan bekalan air demi manfaat rakyat serta komuniti perniagaan di Pulau Pinang.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata matlamat kerajaan negeri adalah untuk menjadikan bekalan air sebagai aset dan bukannya liabiliti menjelang 2030, dengan PBAPP telah melaksanakan Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) sejak 2023.

Beliau berkata Fasa Satu WCP 2030 telah selesai dilaksanakan, sekali gus meningkatkan kapasiti maksimum rawatan air Pulau Pinang daripada 1,599 juta liter sehari (JLH) pada 2022 kepada 1,732 JLH tahun ini.

“Fasa Dua WCP 2030 sedang dilaksanakan. Kita akan membina empat loji rawatan air baharu bagi menghasilkan lebih banyak air terawat di Seberang Perai, manakala Fasa Tiga juga sedang dilaksanakan dengan kerja pembinaan dua saluran paip utama telah dimulakan bagi membolehkan lebih banyak air terawat disalurkan dari Seberang Perai ke Pulau Pinang.

“Saluran paip berkenaan adalah dari Sungai Dua ke Butterworth dan dari Macallum ke Bukit Dumbar. Apabila kesemua projek WCP 2030 siap pada 2030 atau 2031, rekod masa depan akan menunjukkan penyempurnaan lapan projek air bernilai RM2.1 bilion bagi memastikan bekalan air untuk Pulau Pinang sehingga 2030-an mencukupi,” katanya.

Chow berkata projek tersebut juga akan memanfaatkan tiga sumber air mentah tambahan untuk Pulau Pinang, iaitu Empangan Mengkuang yang telah diperluas, Sungai Perai dan Sungai Kerian, selain meningkatkan jumlah kapasiti rawatan air negeri sebanyak 602 JLH.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved