PBT perlu kenal pasti pokok berisiko tumbang

LocalEnvironment
12 Aug 2026 • 3:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PBT perlu kenal pasti pokok berisiko tumbang

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara perlu segera melakukan audit terhadap pokok di kawasan berisiko tinggi dan mengambil tindakan terhadap pokok yang dikenal pasti mempunyai masalah struktur, pereputan atau berpotensi tumbang.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, ia susulan tragedi pokok tumbang yang meragut empat nyawa di Bentong minggu lalu disusuli kejadian hampir sama di Jalan Macalister, Pulau Pinangperlu menjadi amaran serius kepada pihak berkuasa supaya tidak menunggu kehilangan nyawa sebelum bertindak.

Katanya, ia menunjukkan pokok tua berisiko dan tidak boleh lagi dianggap sebagai isu terpencil.

“Ini soal nyawa rakyat. Nyawa rakyat lebih penting. Kita tidak boleh tunggu pokok tumbang, hempap kenderaan atau ada orang meninggal dunia baru mahu mengambil tindakan.

“Pokok besar dan tua terutama di kawasan bandar, tepi jalan dan tempat yang ramai orang perlu diperiksa. Kalau penilaian mendapati ia sudah tidak selamat, tindakan perlu dibuat secepat mungkin,” katanya.

3 Ogos lalu, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki lima sekeluarga dihempap sebatang pokok besar yang tumbang di Bentoh, pahang.

Kejadian itu mengorbankan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran merangkap Bendahari Pemuda UMNO Pahang, Mohd Radzi Rahimi bersama isteri, seorang anak serta adik iparnya.

Belum pun reda tragedi berkenaan, sebatang pokok Angsana berusia kira-kira 90 tahun dan setinggi 28 meter tumbang di Jalan Macalister, Pulau Pinang pada Ahad lalu lalu menghempap sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Kenderaan itu dinaiki pasangan warga emas bersama cucu perempuan mereka berusia sembilan tahun dan ketiga-tiganya terselamat.

Mengulas lanjut Daniel berkata, dua kejadian dalam tempoh singkat itu perlu mendorong pihak berkuasa melihat semula tahap keselamatan pokok di kawasan awam, khususnya pokok matang yang berada berhampiran jalan raya.

“Kita baru kehilangan empat nyawa di Pahang. Beberapa hari kemudian, berlaku pula kejadian di Pulau Pinang.

“Syukur mereka di Jalan Macalister terselamat, tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku pada kejadian seterusnya. Sebab itu jangan tunggu tragedi lain,” katanya.

Menurut Daniel, beberapa kejadian itu juga membuktikan perlunya pendekatan pencegahan lebih agresif khususnya di bandar, kawasan pelancongan, sekolah, taman awam dan jalan raya yang mempunyai jumlah pengguna tinggi.

Pada masa sama, beliau menegaskan cadangan mengambil tindakan terhadap pokok berisiko bukan bermaksud kerajaan perlu mengorbankan usaha penghijauan bandar.

Sebaliknya, katanya, pokok yang terpaksa ditebang atas faktor keselamatan boleh digantikan dengan pokok baharu menerusi program penanaman semula secara terancang.

“Kalau pokok itu sudah berbahaya, tebang dan tanam semula. Kita masih perlukan pokok untuk memberi teduhan, menjaga persekitaran dan mencantikkan bandar.

“Tetapi untuk kawasan tertentu terutama berhampiran jalan dan bangunan, kita boleh memilih pokok yang lebih kecil atau sederhana serta sesuai dengan ruang yang ada,” katanya.

Daniel turut mencadangkan setiap PBT memperkukuh inventori pokok bandar dengan merekodkan spesies, anggaran usia, keadaan kesihatan, sejarah penyelenggaraan dan tahap risiko terutama bagi pokok yang berada di lokasi strategik.

Menurutnya, pemeriksaan berkala perlu menjadi sebahagian daripada pengurusan bandar dan bukan hanya dilakukan secara besar-besaran selepas berlaku kejadian pokok tumbang.

“Dalam tempoh yang singkat kita sudah melihat kematian di Bentong dan kejadian mengerikan di Pulau Pinang. Sebelum itu juga sudah ada nyawa terkorban.

“Berapa banyak lagi amaran yang kita perlukan? Pencegahan mesti dibuat sekarang sebelum berlaku tragedi seterusnya,” katanya.-UTUSAN

The post PBT perlu kenal pasti pokok berisiko tumbang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved