hamden20/08/2026 - 17:36 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos - Techbond Group Bhd menutup tahun kewangan 2026 (FY26) dengan prestasi kukuh apabila untung bersih melonjak 20.2% tahun ke tahun (YoY) kepada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM19.1 juta, disokong pengoptimuman portfolio produk serta margin yang lebih baik.
Pengeluar pelekat dan pengedap industri itu berkata, prestasi berkenaan dicapai walaupun hasil FY26 susut kepada RM128.3 juta daripada RM146.5 juta pada tahun sebelumnya, terutama akibat usaha mengoptimumkan portfolio produk dalam segmen bahan kimia serta kesan tukaran mata wang asing susulan pengukuhan ringgit.
Ketua Pegawai Eksekutif Techbond, Lee Seh Meng, berkata Kumpulan kekal positif terhadap prospek perniagaan susulan peningkatan jualan eksport dan momentum daripada pasaran baharu.
Beliau berkata pasaran baharu yang diceburi Techbond semakin mendapat daya tarikan, sekali gus membawa masuk pelanggan serta tempahan baharu.
“Fokus kami terus kepada memperluaskan pangkalan pelanggan dan liputan geografi, selain memperkukuh kehadiran dalam industri pembungkusan yang telah menunjukkan momentum baik.
“Secara keseluruhan, kadar penggunaan kekal sihat, dengan kapasiti tersedia untuk ditingkatkan lagi mengikut keperluan, manakala prospek permintaan kekal positif,” katanya.
Menurutnya, operasi pempolimeran huluan turut menyaksikan peningkatan kadar penggunaan apabila Kumpulan secara berperingkat memperoleh tempahan daripada pelanggan luar selain menyokong pengeluaran dalaman.
Prestasi Suku Keempat
Bagi suku keempat FY26 (4QFY26), hasil Techbond berjumlah RM32.8 juta, berbanding RM34.1 juta setahun sebelumnya.
Namun, untung bersih bagi suku tersebut melonjak 83.6% YoY kepada RM5.5 juta daripada RM3 juta pada 4QFY25.
Prestasi itu merupakan keuntungan bersih suku kedua tertinggi dalam sejarah Techbond selepas RM6.4 juta yang direkodkan pada 2QFY25.
Dari segi pulangan kepada pemegang saham, Techbond mengumumkan dividen sebanyak 0.75 sen sesaham, bersamaan RM5.7 juta bagi FY26.
Pembayaran itu mewakili nisbah pembayaran sebanyak 29.8% daripada keuntungan bersih FY26, selaras dengan dasar dividen Kumpulan sehingga 30%.
Sementara itu, kedudukan kewangan Techbond kekal kukuh dengan tunai bersih sesaham sebanyak 16.1 sen dan aset bersih sesaham 36 sen setakat 30 Jun 2026. - DagangNews.com






