RANTAU PANJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membantu agensi penguat kuasa di pintu masuk negara bagi membendung ketirisan dan kepincangan yang boleh menjejaskan keselamatan sempadan pada masa depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, penugasan di pintu masuk negara adalah di bawah agensi berkaitan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Menurut beliau, bagaimanapun pihak polis sentiasa bersedia untuk membantu agensi terbabit bagi memastikan sebarang kelemahan atau ketirisan dapat dibendung daripada terus berlaku.
"Untuk penugasan di pintu masuk ia adalah di bawah agensi-agensi seperti AKPS, Imigresen dan juga Kastam.
"Pihak polis sentiasa bersedia untuk membantu bagi memastikan tidak lagi berlaku ketirisan dan kepincangan bukan sahaja di sempadan tetapi juga di pintu-pintu masuk," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau mengadakan tinjauan di sempadan berhampiran pangkalan haram Lubok Gong di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Ujar beliau, arahan berhubung perkara itu turut diterima daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Menteri Dalam Negeri, supaya PDRM membantu agensi berkaitan dalam memastikan kawalan di pintu masuk negara diperkasakan.
"Saya menerima arahan daripada pihak kementerian, daripada Menteri Dalam Negeri sendiri untuk membantu agensi-agensi yang berkaitan supaya kita dapat memastikan perkara-perkara yang berkaitan itu dapat dikekang pada masa-masa akan datang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan berterusan bagi mengesan mana-mana individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan bertentangan dengan undang-undang, termasuk dakwaan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia pada 29 Julai lalu kerana disyaki menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi dan syabu yang ditahan di negara berkenaan.
Jelas beliau, perkara berkenaan wajar diserahkan kepada pihak yang menjalankan siasatan dan PDRM akan terus mengambil tindakan berdasarkan hasil siasatan.
"Biar kita serahkan kepada pihak yang berkenaan. Di pihak kita masih lagi menjalankan siasatan berterusan dan mencari mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.
"Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini pun dengan tindakan kita mengetatkan pintu masuk dan sebagainya memberi kesan yang positif," katanya.
Beliau turut menegaskan keyakinannya bahawa agensi kerajaan di bawah KDN mampu melaksanakan penugasan secara bersepadu bagi memastikan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan di pintu masuk negara berjalan lancar.






