
RANTAU PANJANG: Taktik licik menyembunyikan 1.7 juta batang rokok putih seludup di bawah guni berisi sabut kelapa sebelum meninggalkan lori tanpa dikunci, gagal mengaburi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan.
Rokok bernilai RM490,200 itu ditemukan dalam sebuah lori Hino yang ditinggalkan di Kampung Pauh 9, Tawang, Bachok dalam serbuan pada pukul 10.30 malam pada 17 Julai lalu.
Pengarah JKDM negeri, Mohd. Hisham Mohd. Nor berkata, rampasan itu berpandukan kepada maklumat menerusi Op Asap Cino.
Katanya, pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan guni-guni putih berisi sabut kelapa yang digunakan untuk menyembunyikan 74 kotak mengandungi 1,701,000 batang rokok pelbagai jenama.
“Duti serta cukai terlibat kira-kira RM1,194,102 manakala lori Hino dianggarkan bernilai RM150,000. Keseluruhan rampasan berjumlah RM1,834,302,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Mohd. Hisham berkata, serbuan kedua di lokasi sama, JKDM mengesan sebuah Toyota Unser yang memuatkan 253,600 batang rokok putih seludup bernilai RM65,720.
“Duti dan cukainya kira-kira RM178,027.20 manakala kenderaan itu yang dianggarkan bernilai RM15,000 turut disita. Jumlah keseluruhan bagi rampasan kedua bernilai RM258,747.20,” ujarnya.
Kata beliau, rokok berkenaan dipercayai diseludup melalui sungai sebelum dipindahkan ke kenderaan untuk diedarkan di pasaran luar Kelantan dan dijual kepada warga asing di seluruh Malaysia.
Katanya, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara 10 hingga 20 kali nilai barang atau antara RM100,000 hingga RM500,000, serta penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. – UTUSAN
The post Sorok 1.7 juta batang rokok seludup bawah guni sabut kelapa appeared first on Utusan Malaysia.





