
RANTAU PANJANG – Taktik licik sindiket menyembunyikan sebanyak 1.7 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1.6 juta termasuk cukai di bawah guni berisi sabut kelapa terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menjumpai sebuah lori di Kampung Pauh Sembilan, Tawang dekat Bachok baru-baru ini.
Kesemua rokok itu dirampas menerusi Ops Asap Cino selepas JKDM Kelantan mengesan sebuah lori jenis Hino ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci di kawasan itu kira-kira pukul 10.30 malam pada 17 Julai lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Hisham Mohd. Nor berkata, pemeriksaan mendapati, lori berkenaan membawa guni-guni berisi sabut kelapa yang dipercayai digunakan sebagai helah untuk menyembunyikan kotak mengandungi rokok seludup pelbagai jenama.
“Hasil pemeriksaan terhadap di bawah guni sabut itu menjumpai kesemua rokok bernilai RM490,200 tanpa cukai disimpan di dalam 74 buah kotak.
“Duti dan cukai rokok itu dianggarkan sebanyak RM1.19 juta manakala lori tersebut bernilai RM150,000 menjadikan keseluruhan rampasan dalam kes itu RM1.83 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.
Mohd. Hisham memberitahu, pihaknya menjalankan serbuan kedua di lokasi sama sebelum mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser yang memuatkan sebanyak 253,600 batang rokok seludup bernilai RM243,747 termasuk cukai.
Katanya, kesemua rokok yang dirampas dalam kedua-dua serbuan dipercayai diseludup melalui kawasan sungai sebelum dipindahkan ke kenderaan untuk diedarkan di pasaran luar Kelantan.
Tambahnya, rokok seludup itu disyaki untuk dijual dan dibekalkan kepada warga asing di seluruh negara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE
The post Sorok rokok seludup lebih RM1.6 juta bawah guni sabut kelapa appeared first on Kosmo Digital.





