RANTAU PANJANG - Seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan selepas kereta Perodua Axia dinaiki dipercayai terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di bahu Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang (Culvert Lima) di sini pada Isnin.
Nor Maisarah Mazlan, 23, yang duduk di kerusi hadapan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.20 pagi itu melibatkan tiga mangsa yang mempunyai hubungan kekeluargaan dalam perjalanan dari Pasir Mas menuju ke Rantau Panjang.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, penumpang kerusi belakang
Che Rokiah Che Idris, 73, maut di lokasi kejadian.
**media[3625099]**
"Pemandu, Norqistina,18, pula mengalami patah pergelangan tangan serta kecederaan dalaman dan masih menerima rawatan lanjut di hospital sama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mazlan memberitahu, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan maut itu kira-kira jam 11.25 pagi.
Ujarnya, siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai terbabas sendiri sebelum merempuh pokok di bahu jalan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan," katanya.






