Pearly-Thinaah juara Terbuka Hong Kong

22 Nov 2026 • 6:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pearly-Thinaah juara Terbuka Hong Kong

SHAH ALAM, 22 NOV: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengulangi kejayaan dua tahun lalu apabila sekali lagi muncul juara Terbuka Hong Kong.

Pasangan ranking keempat dunia itu menewaskan pasangan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi yang menghuni ranking ke-11 dunia, 22-20, 21-16 pada aksi final di Arena Kai Tak untuk merangkul gelaran Jelajah Dunia ketiga mereka tahun ini, lapor Berita Harian.

Turun dengan misi memburu gelaran, Pearly-Thinaah bagaimanapun bermula agak perlahan sebelum berjaya memperkemaskan permainan dan mula memberikan tentangan sengit kepada lawan.

Selepas interval ketika ketinggalan 10-11, aksi semakin menarik dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata sehingga kedudukan terikat 20-20, sebelum Pearly-Thinaah berjaya mengutip dua mata berturut-turut untuk menutup set pertama 22-20.

Memasuki set kedua, Nakade-Takahashi sekali lagi memberikan tentangan apabila berjaya mengejar dan mendahului 11-10, sekali gus menyaksikan pasangan negara perlu bekerja keras untuk mengawal permainan.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah tidak mudah goyah apabila kembali menemui rentak untuk melebarkan jurang mata dan mendahului 19-16 sebelum terus mengekalkan momentum bagi mengesahkan kemenangan 21-16.

Kejayaan mereka melengkapkan hari gemilang badminton negara di Hong Kong selepas Wei Chong-Kai Wun terlebih dahulu menamatkan penantian 27 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki kejohanan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved