Pearly-Thinaah, Soon Huat-Shevon teruskan perjuangan di India

19 Aug 2026 • 8:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pearly-Thinaah, Soon Huat-Shevon teruskan perjuangan di India

PETALING JAYA: Dua beregu negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mara ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, hari ini.

Pearly-Thinaah yang merupakan gandingan No. 5 dunia membenam pasangan ke-22 dunia, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci dari Turki 21-16, 21-13 dalam masa 34 minit di peringkat 32 terbaik.

Beregu wanita No. 1 Malaysia itu dijangka berdepan sama ada beregu No. 13 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dari Indonesia atau wakil Turki, Yasemen Bektas-Sinem Yildiz di pusingan ketiga.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, Soon Huat-Shevon mengalahkan Chen Zi Yi-Francesca Corbett dari Amerika Syarikat (AS) 21-15, 21-16 dalam masa 33 minit.

Pasangan suami isteri yang menghuni ranking No. 11 dunia itu bakal bertemu wakil China, Cheng Xing-Zhang Chi di pusingan ketiga, esok.

Ketika diminta mengulas mengenai aksi bertemu Zi Yi-Corbett, Shevon berkata, beregu AS itu lebih awal menyesuaikan diri di dalam gelanggang dan kelihatan lebih bersedia.

“Mereka telah bermain, semalam, menentang beregu Korea Selatan, jadi, mereka dapat kelebihan menyesuaikan diri lebih awal dalam gelanggang.

“Kami sebenarnya menjangkakan akan bertemu pasangan Korea, tetapi nampaknya mereka melakukan tugas dengan baik. Jadi hari ini, kami sedar perlu benar-benar bersedia untuk turun ke gelanggang menentang mereka.

“Syukurlah, kami berjaya menyesuaikan diri dengan cepat dan pasangan saya (Soon Huat) mengawal rentak serta momentum perlawanan dengan sangat baik,” katanya kepada wakil BWF, hari ini.

Dalam pada itu, nasib berbeza dialami beregu muda negara yang melakukan penampilan sulung pada Kejohanan Dunia, Ong Xin Yee-Carmen Ting.

Beregu ke-23 dunia itu tumpas kepada pasangan handalan Jepun yang merupakan pilihan kedua, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 15-21, 15-21 dalam masa 45 minit.

Turut terkandas, dua wakil perseorangan Malaysia, Leong Jun Hao dan K. Letshanaa yang kalah kepada pencabar masing-masing.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 dunia terpaksa akur kepada bintang No. 8 dunia, Li Shi Feng 19-21, 19-21 dalam masa 1 jam 2 minit.

Letshanaa pula yang membuat kemunculan sulung dalam Kejohanan Dunia bukanlah tandingan jaguh No. 3 dunia, Wang Zhi Yi dari China apabila tewas straight set 16-21, 9-21 dalam masa 42 minit. – UTUSAN

The post Pearly-Thinaah, Soon Huat-Shevon teruskan perjuangan di India appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved