
KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus mengorak langkah pada Kejohanan Badminto Dunia selepas berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga.
Pada aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Indira Gandhi, New Delhi hari ini, bekas naib juara dunia itu menang 21-16, 21-13 ke atas pasangan Turkiye, Begisu Ercetin-Nazlican Inci.
Turun sebagai pilihan kelima kejohanan, pasangan No.5 dunia itu menampilkan aksi cukup baik, namun Thinaah menganggap masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki.
“Sudah tentu kami gembira apabila menang perlawanan pertama di sini tetapi masih ada perkara yang perlu diperbaiki seperti komunikasi dan strategi.
“Saya percaya kami boleh menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat permainan.
Sementara itu, Pearly pula menjelaskan, dia dan Thinaah masih bekerja keras untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik, terutamanya selepas dia pulih daripada kecederaan.
“Selepas Terbuka Taiwan, kami hanya ada dua minggu (buat persiapan) dan kami bekerja keras untuk memperbaiki permainan kerana saya baru pulih daripada kecedeaan,” ujarnya.
Turut melangkah ke pusingan ketiga adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menewaskan pasangan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Francesca Corbett 21-15, 21-16.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami satu lagi beregu wanita, Carmen Ting-Ong Xin Yee serta perseorangan lelaki, Leong Jun Hao apabila tersingkir selepas tewas kepada lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE
The post Kejohanan Dunia: Pearly-Thinaah idam aksi lebih baik appeared first on Kosmo Digital.






