Pearly-Thinaah tamat kemarau 12 tahun, sah genggam gangsa Sukan Asia

27 Sep 2026 • 11:05 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pearly-Thinaah tamat kemarau 12 tahun, sah genggam gangsa Sukan Asia

AICHI, 27 SEPT: Penantian 12 tahun Malaysia untuk kembali meraih pingat dalam acara beregu wanita Sukan Asia berakhir selepas Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir edisi Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Pasangan ranking kelima dunia itu menempah tiket ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan gandingan India, Gayatri Gopichand-Treesa Jolly, yang berada di ranking ke-26 dunia, 21-18, 21-9 dalam tempoh 42 minit.

Perlawanan suku akhir itu berlangsung di Ichinomiya City Municipal Gymnasium.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Pearly-Thinaah sekurang-kurangnya sudah mengesahkan pingat gangsa pada temasya kali ini, sekali gus menamatkan kemarau pingat Malaysia dalam acara beregu wanita sejak 2014.

Kali terakhir Malaysia menaiki podium acara berkenaan adalah menerusi pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia Incheon 2014.

Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir apabila mereka dijadual berdepan pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Pertemuan itu bakal menjadi ujian penting buat pasangan negara dalam misi meneruskan kemaraan ke pentas final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved