Keluarga Norhazwani Ibrahim, 35, tidak menyangka pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu meninggal dunia dalam keadaan tragis, dipercayai dibunuh suaminya sendiri di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam KLIA, Nilai malam tadi.
Menurut laporan Sinar Harian, abang sulungnya Amran Ibrahim, 59, berkata berita kematian adik bongsu daripada sembilan beradik itu amat sukar diterima, apatah lagi apabila dimaklumkan suami mangsa disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

Foto: Bernama
Amran berkata, dia menerima panggilan daripada salah seorang adik lelakinya kira-kira jam 7.30 malam ketika berada di rumah sebelum dimaklumkan bahawa suami Allahyarham telah menyerah diri di balai polis.
“Saya pada mulanya tidak percaya dan segera hubungi balai polis yang mengesahkan adik saya telah mati ditikam,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.
Amran berkata, meskipun keluarga menerima pemergian Allahyarham sebagai ketentuan Tuhan, mereka tidak pernah menyangka adiknya akan pergi dengan cara sedemikian.
“Sebagai orang Islam, keluarga menerima kematian arwah, tapi tak sangka caranya begini,” ujarnya.
Mengimbas peribadi Allahyarham, Amran menyifatkan adiknya sebagai seorang yang ceria dan tidak banyak berkongsi masalah peribadi dengan keluarga, walaupun mereka mengetahui rumah tangganya berdepan masalah.

Foto: Media sosial
Katanya, Allahyarham lebih selesa menceritakan kemelut rumah tangga kepada seorang lagi adik lelaki mereka, manakala hubungannya dengan suami ketika itu juga dilaporkan sedang menuju ke arah perceraian.
“Kami tahu dia ada masalah dengan suami, tapi dia tak pernah bercerita secara terperinci kepada saya, sebaliknya lebih banyak berkongsi dengan adik lelaki saya yang lain.
“Suaminya pula baru beberapa hari keluar dari penjara kerana kesalahan berkaitan dadah, manakala mereka kini dalam proses perceraian,” katanya.
Lebih menyedihkan, Amran berkata seorang lagi adik lelakinya yang menetap di Kelantan sempat bermalam di rumah Allahyarham sehari sebelum kejadian.
Jelasnya, pasangan itu dilihat berada dalam keadaan biasa ketika itu, malah adiknya sempat menasihati mereka supaya menjaga hubungan dan mengelakkan pertengkaran.
“Mereka sudah tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan dua anak berusia lima dan enam tahun yang kini dijaga oleh seorang lagi adik perempuan saya di Kelantan,” jelasnya lagi.

Foto: Bernama
Dalam pada itu, Amran tidak menafikan keluarga berasa marah dan terkilan dengan apa yang berlaku, namun memilih menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kepada pihak berkuasa.
“Kami terlalu sedih atas apa yang berlaku, sebab dia adik bongsu kami. Memang rasa geram, tetapi kami serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan mayat Allahyarham telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi menjalani proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk dikebumikan.
Menurutnya, pihak polis memaklumkan bedah siasat dijadualkan berlangsung pada pagi Sabtu.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya menerima maklumat mengenainya kira-kira jam 8.30 malam.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala maklumat lanjut akan dikeluarkan selepas siasatan di lokasi kejadian selesai sepenuhnya.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)




