Pegawai AKPS Dibunuh Suami Dalam Proses Bercerai 

16 Oct 2026 • 12:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pegawai AKPS Dibunuh Suami Dalam Proses Bercerai 

SEREMBAN - Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang dibunuh suaminya malam tadi, difahamkan sedang dalam proses untuk bercerai.

Abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, berkata, keluarga mereka mengetahui adiknya itu berdepan masalah rumah tangga, namun Norhazwani jarang berkongsi secara terperinci mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, suami adiknya itu baru dibebaskan dari penjara beberapa hari sebelum kejadian selepas menjalani hukuman bagi kesalahan berkaitan dadah.

Norhazwani ditemukan meninggal dunia di Kompleks Kediaman Penjawat Awam KLIA malam tadi dengan suaminya dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Amran berkata, beliau berada di rumah kira-kira jam 7.30 malam sebelum menerima panggilan daripada seorang lagi adiknya yang memaklumkan mengenai tragedi berkenaan.

“Adik saya memberitahu bahawa adik perempuan kami dibunuh suaminya, yang sudah menyerah diri di balai polis.

“Pada mulanya saya tidak percaya, jadi saya menghubungi sendiri balai polis berkenaan. Mereka mengesahkan adik saya meninggal dunia akibat ditikam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, berita itu amat sukar diterima keluarga, lebih-lebih lagi Norhazwani merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik.

“Sebagai orang Islam, kami menerima kematian sebagai ketentuan, tetapi tidak pernah menyangka perkara seperti ini akan berlaku,” katanya.

Menggambarkan mangsa sebagai seorang yang ceria, Amran berkata Norhazwani jarang bercerita mengenai masalah peribadi kepada keluarga.

Katanya, walaupun mangsa diketahui berdepan masalah rumah tangga, Norhazwani lebih banyak berkongsi perkara berkenaan dengan seorang lagi abangnya.

“Kami tahu dia ada masalah dengan suaminya, tetapi dia tidak banyak bercerita kepada saya. Dia lebih banyak berkongsi dengan abangnya yang seorang lagi,” katanya.

Amran berkata, seorang lagi adiknya yang menetap di Kelantan turut bermalam di rumah Norhazwani sehari sebelum kejadian.

Menurutnya, sepanjang kunjungan itu, hubungan Norhazwani dan suaminya kelihatan seperti biasa.

Malah, adiknya itu sempat menasihati pasangan berkenaan supaya menjaga hubungan rumah tangga dan mengelakkan pertengkaran.

Pasangan tersebut sudah tujuh tahun berkahwin dan mempunyai dua anak berusia lima dan enam tahun.

Kedua-dua anak mereka kini berada di bawah jagaan seorang lagi kakak Norhazwani yang menetap di Kelantan.

Mengulas kejadian itu, Amran berkata keluarga mereka menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya, meskipun sukar menerima apa yang berlaku.

“Kami amat sedih dengan kejadian ini kerana dia adik bongsu kami. Sudah tentu kami marah, tetapi kami serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

Amran berkata, jenazah Norhazwani dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk bedah siasat.

Menurutnya, keluarga dimaklumkan bahawa bedah siasat akan dijalankan pagi esok sebelum jenazah dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, sebelum ini mengesahkan kejadian dan berkata, pihak polis menerima maklumat mengenainya kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Maklumat lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan di tempat kejadian selesai. - Getaran, 16 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved