Pegawai, anggota polis bukan dalang utama samun Gombak

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 11:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shazeli (dua dari kanan) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM – Dalang utama kes samun berkumpulan yang menggemparkan daerah Gombak pada 27 Februari lalu disahkan merupakan individu awam dan bukannya pegawai atau anggota polis yang turut diberkas dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan mendapati individu tersebut bertindak merancang kegiatan samun itu bersama beberapa lagi rakan yang saling mengenali antara satu sama lain.

Menurut beliau, dua suspek terakhir yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan berjaya ditahan semalam sekali gus melengkapkan tangkapan kesemua enam suspek.

"Kes samun di Gombak ini telah selesai disiasat dan kesemua suspek yang terlibat berjaya ditahan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

"Siasatan mendapati dalang utama kes ini adalah seorang orang awam dalam kumpulan tersebut dan bukannya pegawai dan anggota polis yang diberkas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Shazeli berkata, dua suspek yang ditahan semalam kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan juga mendapati semua suspek mempunyai hubungan antara satu sama lain sebelum melakukan kegiatan jenayah tersebut.

"Kertas siasatan juga telah dibawa kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Bukit Aman untuk dikaji memandangkan kes ini turut melibatkan suspek yang bertugas sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki yang diberkas bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan yang berlaku di daerah Gombak pada 27 Februari lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi sebelum satu operasi khas dilancarkan bagi menjejaki suspek yang terlibat.

Hasil siasatan dan risikan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak membawa kepada beberapa tangkapan enam lelaki warga tempatan termasuk dua pegawai kanan dan seorang anggota polis di beberapa lokasi berasingan bermula 2 Mac lalu.

Selain itu, salah seorang suspek awam yang ditahan mempunyai 20 rekod jenayah lampau.