IPOH - Kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini tidak pernah diketepikan walaupun wujud perbezaan pendekatan politik dalam kalangan parti-parti Melayu, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Menurut beliau, perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu serta institusi raja-raja sentiasa dipertahankan oleh semua pemimpin Melayu tanpa mengira parti.
"Tanyalah mana-mana pemimpin Melayu dalam mana-mana parti politik. Apabila bercakap soal kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kita junjung dan pertahankan.
"Kedudukan bahasa Melayu juga kita kekal pertahankan malah hari ini terus dimartabatkan ke tahap yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Barisan Hadapan, Santuni Wira Madani dan Singgah Sahur bersama warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.
**media[3459328]**
Beliau berkata demikian ketika mengulas inisiatif Rumah Bangsa yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertujuan menyatukan semula ahli, bekas pemimpin dan tokoh Melayu di bawah satu 'keluarga besar'.
Muhammad Kamil berkata, walaupun terdapat perbezaan pandangan politik, ia tidak bermaksud kesatuan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini semakin terhakis.
Katanya, perbezaan yang wujud hanyalah dari segi pendekatan politik yang diambil oleh pemimpin atau parti tertentu.
"Ada yang memilih jalur pendekatan yang lebih keras, manakala sebahagian yang lain melihat bahawa negara ini majoritinya orang Melayu tetapi turut mempunyai kaum dan etnik lain.
"Jadi harus ada kebijaksanaan dalam mengurus serta mengawal beberapa isu terutamanya melibatkan isu sensitif yang sering disebut sebagai 3R (kaum, agama, raja)," katanya.
Dalam masa sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu memaklumkan, gagasan perpaduan yang dibincangkan oleh pemimpin politik hari ini bukan sesuatu yang baharu kerana konsep tersebut telah lebih awal disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.
"Jadi saya fikir ini adalah mungkin lanjutan daripada usaha tersebut. Tidak ada masalah atau halangan untuk kita terus berbincang dan bermusyawarah mengenai perkara-perkara tertentu.
"Namun dalam kita bercakap soal perpaduan dan kesatuan melibatkan orang Melayu dan Bumiputera, kita tidak pernah bergaduh ataupun berpecah-belah," katanya.
Sementara itu, program Santuni Wira Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianjurkan sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Program berkenaan dilaksanakan di 13 negeri di seluruh negara dengan agihan masing-masing 400 pek makanan sahur di beberapa balai polis, balai bomba serta hospital terpilih.


