Pegawai Kewangan Negeri Johor Mohd Noorazam dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Al-‘Aqar Healthcare REIT

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pegawai Kewangan Negeri Johor Mohd Noorazam dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Al-‘Aqar Healthcare REIT Image from: Pegawai Kewangan Negeri Johor Mohd Noorazam dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Al-‘Aqar Healthcare REIT johardy21/08/2026 - 10:20 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Al-‘Aqar Healthcare REIT melantik Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, sekali gus membawa seorang pentadbir kanan Johor yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam ke dalam Lembaga Pengarahnya.

 

Pelantikan itu berkuat kuasa pada 20 Ogos 2026, menurut makluman REIT berkenaan kepada Bursa Malaysia.

 

Al-‘Aqar mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan negeri Johor menerusi Johor Corporation (JCorp). REIT itu diuruskan oleh JLG REIT Managers Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh JCorp, manakala penyata kewangan JCorp mengklasifikasikan Al-‘Aqar sebagai anak syarikat kumpulan itu.

 

Mohd Noorazam, 58, berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor di Perbendaharaan Negeri Johor sejak 15 Februari lalu. Beliau juga merupakan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sejak Januari 2025.

 

Lebih tiga dekad dalam pentadbiran Johor

Sebelum menerajui IRDA, beliau merupakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru dari Ogos 2021 hingga Disember 2024 dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dari Jun 2018 hingga Ogos 2021.

 

Kerjaya Mohd Noorazam dalam perkhidmatan awam Johor bermula pada 1991, termasuk berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kota Tinggi dan Muar serta memegang beberapa jawatan di Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Johor antara 1995 hingga 2000.

 

Mohd Noorazam memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Kerajaan dan Dasar Awam dari Northumbria University, Newcastle upon Tyne, United Kingdom. Beliau turut menjadi pengarah Al-Salam Real Estate Investment Trust.


 

 Al-‘Aqar Healthcare REIT

 


Aset penjagaan kesihatan bernilai RM2.09 bilion

Ditubuhkan pada 2006, Al-‘Aqar adalah REIT penjagaan kesihatan Islam pertama di dunia. Portfolionya berkembang daripada enam hartanah ketika disenaraikan kepada 23 hartanah ketika ini.

 

Portfolio itu merangkumi 17 hospital, tiga pusat kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, dua kolej di Malaysia serta sebuah perkampungan penjagaan warga emas dan persaraan di Australia, dengan jumlah nilai aset kira-kira RM2.09 bilion.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, hasil Al-‘Aqar meningkat 12.9% kepada RM32.97 juta daripada RM29.19 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan hartanah bersih meningkat kepada RM28.99 juta daripada RM25.17 juta.

 

Keuntungan bagi suku itu meningkat 9.6% kepada RM17.31 juta daripada RM15.80 juta, manakala pendapatan seunit meningkat kepada 2.06 sen daripada 1.88 sen. Al-‘Aqar mengisytiharkan pengagihan pendapatan interim pertama sebanyak 1.93 sen seunit bagi suku berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved