
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis yang digantung tugas sejak 2024 dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah methamphetamine bagi pasaran tempatan dan luar negara selepas ditahan dalam Op Waja yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi yang dijalankan bermula Sabtu lalu hingga semalam membabitkan JSJN Bukit Aman serta JSJN Kuala Lumpur dan Selangor berjaya menumpaskan sindiket berkenaan.
Katanya, dalam operasi itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 39 hingga 46 tahun di sekitar Cheras dan Selangor.
“Polis turut merampas 410 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 425.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM21.3 juta.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan membabitkan ahli-ahli sindiket dari Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.
Menurut beliau, sindiket terbabit menggunakan rumah teres di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
Hussein berkata, semakan mendapati pegawai polis yang digantung tugas itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Beliau berkata, semua suspek direman selama enam hari bermula 26 hingga 31 Julai bagi membantu siasatan.
“Saki-baki ahli sindiket ini telah dikenal pasti dan JSJN akan mengambil tindakan agresif untuk menghapuskan aktiviti pengedaran dadah ini.
“PDRM tidak sesekali berkompromi dengan pegawai polis atau sesiapa sahaja yang menjadi petualang dalam pasukan dengan penglibatan dalam aktiviti pengedaran dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai polis digantung tugas dalang sindiket dadah RM21.3 juta appeared first on Kosmo Digital.






