Peguam Dedah Zamri Vinoth Tidak Lari, Pergi Ke Thailand Atas Urusan Perniagaan

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 3:56 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hari ini (17 Mac), Zamri Vinoth atau nama sebenar Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam pada bulan lalu di Facebook miliknya.

Dia yang merupakan Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan dan mohon untuk dibicarakan.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan 29 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Baca Artikel Berkaitan: Zamri Vinoth Mengaku Tidak Bersalah Keluar Kenyataan Cetus Kegentaran Awam

Peguam Nafi Zamri Vinoth Lari, Pergi Thailand Atas Urusan Perniagaan

Terbaharu, peguam yang mewakili Zamri, Muhammad Hariz Md Yusof mendedahkan anak guamnya itu bukanlah melarikan diri ke luar negara seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, dia ke Thailand pada 9 Mac atas urusan perniagaan sebelum pulang ke Malaysia pada 12 Mac lalu.

Bukan itu sahaja, Zamri yang berusia 42 tahun juga terlibat dalam menguruskan urusan perkahwinan pasangan di luar negara serta tidak pernah mendapat notis daripada pihak polis.

“Anak guam tidak pernah menerima sebarang notis yang memerlukannya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan atau dikehendaki menghadapi pertuduhan sehingga dia dilarang ke luar negara.

“Ini bukan kali pertama dia ke Thailand sebaliknya kerap keluar masuk sejak sembilan tahun lalu.

“Dia juga terlibat dalam menguruskan pernikahan pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan di luar negara, yang mana ia merupakan kerjasama baik antara Majlis Agama Islam Songkla, Thailand dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Proses Keluar Masuk Malaysia Menggunakan Laluan Yang Sah

Terang Hariz lagi, anak guamnya itu keluar masuk ke Malaysia melalui proses yang sah iaitu menggunakan pasport dan pas sempadan.

Keadaan itu membuktikan tiada sebarang indikasi yang menunjukkan Zamri melarikan diri untuk mengelak daripada menghadapi pertuduhan yang dilemparkan.

Persoal Anak Guam Dapat Layanan Berbeza

Pada masa yang sama, Hariz turut mempersoalkan layanan berbeza yang diberikan oleh pihak berkuasa terhadap anak guamnya jika dibandingkan dengan seorang lagi aktivis D Arumugam atau dikenali sebagai Arun Dorasamy yang juga berhadapan dengan pertuduhan sama.

Dedah Hariz, Zamri dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari dan dikawal rapi oleh polis berbanding Arun tanpa sebarang pengiring polis.

“Anak guam kami dibawa ke mahkamah oleh polis pagi ini dalam keadaan bergari, manakala kami difahamkan bahawa Arun Dorasamy diminta hadir sendiri ke mahkamah tanpa sebarang pengiring polis atau digari.

“Kedua-dua individu berdepan pertuduhan yang sama. Individu yang seorang lagi malah diiringi oleh seorang timbalan menteri,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Semakan kami pada video yang dikongsikan oleh Astro Awani mendapati Arun sememangnya berjalan tanpa pengiring polis.

Malah dalam video sama, kelihatan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran turut hadir mengiringi aktivis kontroversi itu.

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan pendakwah itu telah lari ke Thailand beberapa hari yang lalu.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, usaha mengesan Zamri dan seorang lagi aktivis, Tamim Dahri giat dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa dari Thailand.

Namun, Zamri kemudiannya menegaskan dia sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dan bersedia bertemu KPN bagi memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Baca Artikel Berkaitan: Zamri Vinoth Mengaku Tidak Bersalah Keluar Kenyataan Cetus Kegentaran Awam

Baca Artikel Berkaitan: Polis Tahan Dua Lelaki, Disyaki Muat Naik Hantaran Berunsur Ugutan Terhadap PMX & Hina Kerajaan