Peguam Mohon Lucut Kelayakan Anwar Sebagai PM & MP Tambun

LocalPolitics
12 Aug 2025 • 6:29 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Seorang peguam hari ini (12 Ogos) telah memfailkan saman bagi mendapatkan deklarasi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dipilih sebagai Ahli Parlimen (MP) Tambun pada November 2022 dan dilantik menjadi Perdana Menteri.

Memetik FMT, Peguam P Waytha Moorthy yang juga bekas Menteri Perpaduan berkata, pengampunan diraja yang diterima Anwar pada 2018 lalu itu tidak menyatakan bahawa beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya selepas bebas dari penjara.

Mohon mahkamah isytihar pemilihan Anwar sebagai PM dan MP Tambun batal, tidak sah

Susulan itu, beliau yang dulu menteri dalam kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020 memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai MP Tambun dan pelantikan sebagai Perdana Menteri batal serta tidak sah.

Saman pemula itu difailkan oleh peguam cara Tetuan Karthig Shan dengan Anwar dinamakan sebagai defendan.

Menurut Presiden Parti Kemajuan Malaysia itu, beliau mengemukakan tindakan kepentingan awam ini untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta melindungi integriti demokrasi berparlimen Malaysia.

Anwar sepatutnya hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat – Waytha

Jelas bekas Pengasas HINDRAF, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan.

Waytha juga memohon relif-relif lain yang dianggapnya patut dan wajar oleh mahkamah serta kos.

Menurutnya lagi, perintah pengampunan itu tidak menyatakan pemansuhan pengecualian lima tahun dari 16 Mei 2018, iaitu tarikh Anwar dibebaskan dari penjara.

Hujahnya, menurut Perkara 48(3) Perlembagaan, Anwar tidak boleh bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat selama lima tahun selepas menerima pengampunan.

Oleh itu, Anwar telah salah dengan menyatakan dirinya sebagai layak bertanding pada PRU 2022 lalu.

Ujar Waytha, tempoh hilang kelayakan lima tahun bagi Anwar masih berkuat kuasa pada masa beliau memfailkan kertas pencalonannya dan dipilih pada 19 November 2022.

Anwar dipilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson selepas dapat pengampunan penuh

Untuk info, pada 16 Mei 2018, Yang di-Pertuan Agong ketika itu memberikan pengampunan penuh kepada Anwar bagi tiga kes melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan liwat.

Anwar kemudiannya dalam satu sidang akhbar memberitahu bahawa pengampunan itu juga dibuat atas dasar wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan dirinya dan memusnahkan karier politiknya.

“Pengampunan ini lengkap dan tidak bersyarat. Keseluruhan sabitan dihapuskan secara automatik,” katanya.

Anwar kemudiannya dipilih sebagai Ahli Parliimen Port Dickson menerusi satu Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Oktober 2018.

Seorang pengundi pernah mengemukakan saman serupa bertujuan mempersoal kelayakan Anwar untuk bertanding pada PRK itu, bagaimanapun ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Source: