Peguam Negara pengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa siasatan khas mengenai 'mafia korporat'

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peguam Negara pengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa siasatan khas mengenai 'mafia korporat' Image from: Peguam Negara pengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa siasatan khas mengenai 'mafia korporat' amree29/10/2026 - 10:30 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt — Jawatankuasa Siasatan Khas Mengenai Isu Jenayah Kewangan mengadakan mesyuarat pertama pada Rabu bagi memuktamadkan keanggotaan serta skop siasatan secara terperinci.

 

Mesyuarat julung kali itu dipengerusikan sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar susulan arahan kerajaan bagi menangani isu jenayah kewangan dan rasuah yang berskala besar.

 

Langkah ini diambil berikutan kebimbangan awam terhadap dakwaan kewujudan aktiviti haram yang dikenali sebagai 'mafia korporat' dan salah guna kuasa dalam pasaran kewangan tempatan.

 

Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan, menegaskan siasatan dijalankan secara telus dan teliti tanpa terhad kepada mana-mana individu atau syarikat tertentu berdasarkan bukti serta fakta.

 

"Jawatankuasa ini akan meneliti asal-usul serta perkembangan dakwaan jenayah kewangan dengan dapatan akhir akan diserahkan kepada Jemaah Menteri sebelum diumumkan kepada umum," katanya.

 

Sesi mesyuarat itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Peguam Negara_DagangNews2026

 

Turut menyertai gabungan agensi penguatkuasaan itu ialah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) bagi memastikan tindakan yang berasas serta teratur.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bahawa jawatankuasa merentas agensi ini diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyiapkan laporan lengkap siasatan mereka.

 

Penubuhan jawatankuasa khas ini disebabkan timbulnya laporan beberapa media antarabangsa mengenai dakwaan pakatan sulit yang membabitkan segelintir ahli perniagaan dan pegawai penguat kuasa.

 

Siasatan berkenaan dijangka merangkumi pelbagai kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 serta Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

 

Ia turut membabitkan penelitian ke atas transaksi lampau termasuk isu pengambilalihan tiga buah bank yang dikaitkan dengan pengaruh bekas menteri kewangan terdahulu. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved