Peguam Pertahan Tindakan Dakwa Saktygaanapathy Atas Kesalahan Membunuh

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 3:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mempertahankan keputusan untuk mendakwa seorang pemandu atas kesalahan membunuh, susulan kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal Klang, baru-baru ini.

Menurut beliau, terdapat asas kukuh untuk mendakwa R. Saktygaanapathy di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.

Katanya, tertuduh meneruskan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, walaupun mengetahui ia tindakan berbahaya yang berpotensi mencetuskan kecederaan atau kematian.

“Perbuatan tertuduh memasuki lorong bertentangan secara sengaja dan pada kelajuan tinggi telah mewujudkan situasi yang amat berbahaya kepada si mati seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan,”  katanya, seperti dilaporkan New Straits Times. 

Jelas Mohd Dusuki, kenyataan saksi serta rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada sebuah kenderaan di lokasi kejadian menyokong pertuduhan tersebut.

"Bukti daripada saksi dan rakaman dashcam mengesahkan perlakuan tertuduh ketika kejadian,” katanya.

Tambah beliau, pertuduhan itu mencerminkan pengabaian secara nyata terhadap nyawa manusia, meskipun terdapat pihak yang mempersoalkan mengapa kes seumpamanya sebelum ini hanya didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Dalam nahas 29 Mac lalu, Allahyarham Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikalnya dirempuh dari hadapan oleh Saktygaanapathy.

Menurut dokumen mahkamah, tertuduh memandu secara melawan arus pada kelajuan tinggi sebelum melanggar mangsa, menyebabkan mangsa tercampak ke arah sebuah kenderaan lain.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan mendapati, tertuduh berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika kejadian.

Susulan nahas, dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Saktygaanapathy turut mengaku bersalah atas atas pertuduhan memasukkan dadah yang disyaki benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya. - Getaran, 3 April 2026