Anak Nelayan Lakar Sejarah, Peroleh 9A SPM Di SMK Sanglang

3 Apr 2026 • 5:56 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

ARAU – Kejayaan Nur Diana Zahirah Yusni, 18, anak seorang nelayan yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menarik perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Marzita Mansor.

Marzita melawat remaja berkenaan di jeti nelayan Kampung Sanglang di sini baru-baru ini bagi menyampaikan penghargaan atas pencapaian luar biasa tersebut.

Beliau menzahirkan rasa kagum terhadap kegigihan Nur Diana yang tetap fokus dalam pelajaran meskipun dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan.

“Usaha dan ketekunan beliau wajar dijadikan inspirasi kepada pelajar lain khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Cipta Sejarah Sekolah

Memetik laporan Utusan Malaysia, Nur Diana turut mencipta sejarah apabila menjadi pelajar pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang yang memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan SPM.

Dalam kunjungan itu, Marzita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena turut menyampaikan sumbangan serta mengucapkan tahniah kepada remaja berkenaan.

Beliau juga memaklumkan akan meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian bagi memudahkan urusan Nur Diana menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Kepayahan Jadi Pemangkin Semangat

Sementara itu, Nur Diana berkata, latar belakang keluarganya bukan penghalang untuk berjaya, sebaliknya menjadi sumber kekuatan untuk terus berusaha.

“Saya belajar bersungguh-sungguh untuk ubah nasib keluarga. Saya tengok sendiri ayah keluar awal pagi dan kadang-kadang pulang keesokan hari selepas turun ke laut mencari rezeki,” katanya.

Beliau yang bercita-cita menjadi seorang guru berharap kejayaannya dapat memberi motivasi kepada pelajar lain untuk tidak berputus asa dalam mengejar impian. – The Malaysian Update

The post Anak Nelayan Lakar Sejarah, Peroleh 9A SPM Di SMK Sanglang appeared first on The Malaysian Update.