
PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an maut selepas dilanggar sebuah kereta Proton Saga dalam kejadian langgar lari di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) Kilometer 0.8 menghala ke Puchong, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.40 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 4.34 pagi apabila sebuah kereta Proton Saga berwarna merah secara tiba-tiba melanggar seorang pejalan kaki yang sedang berdiri di lorong kiri.
“Kenderaan tersebut terus berlalu dan tidak berhenti selepas kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor M. Sivam di talian 017-3290749 bagi membantu siasatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222. – KOSMO! ONLINE
The post Pejalan kaki maut dilanggar Proton Saga, pemandu lari appeared first on Kosmo Digital.






