
GEORGE TOWN – Seorang pejalan kaki yang tular dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di Lebuh Chulia di sini dilaporkan mengalami kecederaan patah kaki.
Kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu membabitkan mangsa seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 22 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 46 saat menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
“Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Lebuh Chulia menuju ke Jalan Patani, Isnin lalu.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan telah melanggar pejalan kaki tersebut,” katanya di sini,malam tadi.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan, manakala pejalan kaki terbabit mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki.
“Pejalan kaki berkenaan masih menerima rawatan di hospital,” katanya .
Jelas beliau, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal ketika mengendalikan kenderaan sehingga melanggar pejalan kaki yang sedang melintas jalan.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
The post Pejalan kaki tular dirempuh motosikal, patah kaki appeared first on Kosmo Online.






