hamden15/09/2026 - 09:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept – Pekat Group Bhd dijangka menyertai sekurang-kurangnya dua peluang projek di bawah Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) menerusi struktur kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta konsortium, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu berkata, penyertaan dalam LSS6 itu dilihat sebagai antara peluang pertumbuhan bagi kumpulan, seiring perkembangan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.
“Pihak pengurusan juga tidak menjangkakan sebarang penerbitan saham baharu susulan penyertaan dalam peluang berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada masa sama, prospek jangka pendek Pekat kekal positif, disokong buku tempahan kukuh bernilai RM750 juta atau 1.2 kali hasil 2025, selain pertumbuhan menyeluruh merentasi keempat-empat segmen perniagaannya.
Segmen suisgear EPE merupakan penyumbang terbesar buku pesanan pada 41%, diikuti ELP sebanyak 34%, solar 20% dan perdagangan 5%.
Momentum pertumbuhan turut kekal sihat apabila hasil segmen ELP meningkat 67% tahun ke tahun (YoY) pada 2Q26, disokong aktiviti berterusan dalam segmen EPE dan solar.
Kira-kira dua pertiga daripada buku pesanan ELP kini berkaitan projek pusat data (DC), dengan campuran itu dijangka kekal sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Prestai kukuh segmen ELP dan EPE
Bagi 2026, hasil ELP disasarkan antara RM80 juta hingga RM100 juta berbanding RM40 juta pada 1H26.
Pihak pengurusan menyasarkan hasil 2H26 antara RM300 juta hingga RM360 juta, disokong penghantaran berkaitan DC yang semakin rancak dalam segmen ELP serta pemenuhan pesanan Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang berterusan bagi EPE.
Dalam perkembangan berkaitan, perolehan kontrak ELP setakat tahun ini mencecah RM77 juta, mewakili 51% daripada sasaran pengisian semula setahun penuh sebanyak RM150 juta. Ia termasuk tiga kontrak DC terbaharu di Johor bernilai RM57 juta.
Sementara itu, permintaan solar kediaman turut menunjukkan pemulihan selepas kelemahan susulan pelaksanaan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), dengan hasil bulanan meningkat daripada RM1 juta hingga RM2 juta kepada RM4 juta hingga RM5 juta.
Pihak pengurusan menyasarkan hasil bulanan segmen itu mencecah RM8 juta hingga RM9 juta menjelang akhir tahun.
Bagi segmen EPE, kilangnya kini beroperasi pada kadar penggunaan kapasiti 60%, manakala pihak pengurusan sedang meneroka lokasi lebih besar bagi menyokong potensi pengembangan kapasiti dan rangkaian produk.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap Pekat dengan harga sasaran (TP) 12 bulan berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM2.37, yang membayangkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) hadapan 2027 sebanyak 22.5 kali.
Ia berkata Pekat kekal menarik berikutan perniagaannya yang saling melengkapi dan dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif RE Malaysia, selain rekod prestasi kukuh kumpulan dalam segmen ELP dan EPE.
Bagaimanapun, risiko penurunan termasuk perubahan dasar RE kerajaan, kelewatan pelaksanaan projek, persaingan sengit dalam pasaran serta turun naik harga panel solar fotovoltaik (PV). - DagangNews.com






