hamden15/09/2026 - 12:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept – Crest Builder Holdings Bhd (CBHB) menerusi cabang kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E), CBTech (M) Sdn Bhd (CBTech) menerima surat anugerah daripada Pesona Metro Sdn Bhd bagi subkontrak bernilai RM56.9 juta.
CBHB berkata, di bawah kontrak tersebut, CBTech akan melaksanakan kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan perkhidmatan elektrik bagi pusat beli-belah dan Menara Pejabat 1 dalam pembangunan Ativo Annexe di Bandar Sri Damansara, Selangor.
Pembangunan berkenaan dibangunkan oleh TA Global Bhd.
“Skop kerja CBTech dijangka siap dalam tempoh 18.5 bulan dan kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih CBHB sepanjang tempoh kontrak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut CBHB, dengan kemenangan kontrak terbaharu itu, buku tempahan tertunggak M&E Kumpulan kini berjumlah kira-kira RM250 juta.
Jumlah berkenaan, apabila digabungkan dengan buku tempahan tertunggak segmen pembinaan sebanyak RM1.6 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan buku pesanan tertunggak Kumpulan kira-kira RM1.9 bilion.
Katanya, kedudukan itu memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Kontrak terbaharu itu turut mengukuhkan kedudukan CBHB sebagai kumpulan pembinaan bersepadu dengan keupayaan saling melengkapi merangkumi pembinaan am, kejuruteraan M&E, pembangunan hartanah dan hartanah pelaburan.
Pengarah Urusan Kumpulan CBHB, Eric Yong berkata, kontrak terbaharu yang diperoleh CBTech penting dalam strategi Kumpulan untuk mempelbagaikan asas pendapatannya di luar aktiviti pembinaan tradisional.
“Kami melihat M&E sebagai lanjutan semula jadi kepada keupayaan sedia ada dan bidang yang membolehkan Crest Builder membina skala lebih besar secara berperingkat.
“Lebih penting lagi, setiap anugerah baharu mengukuhkan rekod prestasi CBTech dan meletakkan bahagian tersebut pada kedudukan lebih baik untuk bersaing mendapatkan peluang yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya. - DagangNews.com



![Siap Ada Elemen Pop-Up! Kanak-Kanak Kreatif Hasilkan Buku Skrap Interaktif Sempena Kemerdekaan Raih Pujian [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/buku-skrap-sembena-bulan-kemerdekaan_2.jpg?t=1789223542)


