amree21/09/2026 - 13:11 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept — Pekat Group Berhad menganggarkan jumlah bayaran sewa sebanyak RM54.5 juta sepanjang tempoh 24 tahun bagi kira-kira 190 hektar tanah di Sungai Petani, Kedah, yang bakal digunakan untuk membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui (RE).
Melalui anak syarikat milik penuhnya, Pekat Teknologi Sdn Bhd (PTSB), kumpulan itu pada 21 September 2026 memeterai perjanjian pajakan bersyarat dengan sebuah syarikat yang identitinya tidak didedahkan atas faktor kerahsiaan.
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pajakan tersebut melibatkan tanah di Mukim Sungai Petani, Daerah Kuala Muda, yang terdiri daripada Geran 10854 Lot 8601, Geran 10855 Lot 8602 dan Geran 10535 Lot 8603.
"PTSB akan membayar sewa bulanan RM350 bagi setiap ekar, dengan kadar itu meningkat 3% pada setiap ulang tahun kedua tarikh permulaan pajakan selepas tempoh pembinaan selesai," jelas Pekat.
Projek berkenaan akan digunakan khusus bagi aktiviti RE, termasuk pembangunan, pembinaan, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan panel solar fotovolta, sistem solar fotovolta serta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), selain kemudahan dan infrastruktur berkaitan.
Bagaimanapun, perjanjian itu masih bersyarat dan pelaksanaan projek bergantung kepada PTSB memperoleh semua kelulusan, permit, lesen dan kebenaran berkaitan, selain mendapatkan perjanjian boleh diterima bagi penjualan, pembekalan, penghantaran atau penjanaan elektrik.
Ujar Pekat, tempoh eksklusiviti selama tiga tahun bermula dari tarikh perjanjian, sepanjang tempoh itu pemberi pajakan tidak boleh menjual, menyewa, mencagar atau melakukan sebarang urusan terhadap tanah berkenaan yang boleh menjejaskan hak PTSB di bawah perjanjian.

"Sekiranya semua syarat terdahulu dipenuhi, tempoh pembinaan projek ditetapkan selama 24 bulan sebelum PTSB memulakan operasi bagi tempoh 21 tahun. PTSB turut mempunyai pilihan melanjutkan tempoh pajakan antara satu hingga lima tahun lagi, tertakluk kepada terma perjanjian," katanya.
Selain bayaran sewa, PTSB perlu membayar wang pendahuluan RM493,500 dalam tempoh 30 hari dari tarikh perjanjian, bersamaan sewa tiga bulan. Bayaran tersebut akan ditukar kepada deposit keselamatan yang boleh dikembalikan apabila pajakan bermula.
Pekat berkata tarikh permulaan pajakan masih belum dapat ditentukan kerana bergantung kepada pemenuhan syarat terdahulu dan notis permulaan yang akan dikeluarkan PTSB kepada pemberi pajakan.
Pemberi pajakan merupakan sebuah syarikat persendirian yang terlibat dalam perniagaan perladangan kelapa sawit dan pegangan pelaburan.
Dari segi kewangan, Pekat berkata perjanjian itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih, aset bersih sesaham, pendapatan, pendapatan sesaham atau gearing kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
"Semua bayaran sewa dan pembayaran lain di bawah perjanjian akan dibuat secara tunai. Lembaga pengarah berpandangan perjanjian itu adalah demi kepentingan kumpulan dan akan memudahkan perkembangan perniagaan RE," jelas kumpulan tersebut.
Pekat turut mengenal pasti risiko berkaitan kegagalan memenuhi syarat terdahulu, khususnya mendapatkan perjanjian offtake, selain kelewatan mendapatkan kelulusan kawal selia, pembinaan dan pentauliahan projek serta kemungkinan berlaku kekangan rantaian bekalan. - DagangNews.com





