Perluasan skop projek di Johor tingkatkan jumlah kontrak Pekat kepada RM76.9 juta - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perluasan skop projek di Johor tingkatkan jumlah kontrak Pekat kepada RM76.9 juta - Penganalisis Image from: Perluasan skop projek di Johor tingkatkan jumlah kontrak Pekat kepada RM76.9 juta - Penganalisis amree09/09/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept — Perluasan skop projek pusat data (DC) di Johor membantu Pekat Group Berhad meningkatkan jumlah kontrak sistem pembumian dan perlindungan kilat (ELP) yang diraih bagi FY26. 

 

Menurut penganalisis, nilai keseluruhan tender ELP diraih oleh kumpulan itu bertambah kepada RM76.9 juta, sekali gus melebihi andaian penggantian tempahan hanya RM75 juta yang ditetapkan sebelum ini.

 

Apex Securities menyifatkan perkembangan itu positif walaupun ia merupakan perluasan skop kerja sedia ada, bukannya kontrak baharu sepenuhnya namun menunjukkan potensi peningkatan saiz kontrak.

 

"Justeru, kami menaikkan andaian penggantian tempahan ELP bagi FY26 kepada RM80 juta dan menambah unjuran keuntungan bersih teras Pekat sebanyak 0.8% kepada RM51.8 juta bagi FY26," jelasnya.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata momentum tempahan kumpulan kini lebih banyak disokong segmen ELP dan peralatan elektrik (EPE), berbanding solar dengan dua segmen itu mempunyai kelebihan. 

 

Antaranya ujar Apex Securities, pendedahan kepada perbelanjaan modal (capex) projek infrastruktur DC dan rangkaian grid elektrik, khususnya di Johor, yang dijangka kekal kukuh sehingga FY27.

 

Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Pekat dan harga sasaran (TP) RM1.88, namun akan menilai semula unjuran selepas pertemuan dengan pengurusan mengenai prospek FY26.

 

Pekat_DagangNews2026

 

Sementara itu, Phillip Capital turut berpandangan positif dan jumlah kemenangan keseluruhan kontrak setakat FY26 dianggarkan meningkat kepada RM290 juta, bersamaan 48% daripada sasaran penggantian.

 

"Tempahan belum dilaksanakan kini berkembang kepada RM936 juta, atau 1.5 kali hasil 2025. Daripada jumlah itu, pengagihan tenaga menyumbang 37%, solar 33%, ELP 29% dan perdagangan 1%," katanya.

 

Ujarnya, tiga kontrak ELP diraih Pekat di Johor boleh menjana RM8 juta keuntungan selepas cukai (PAT) sepanjang 2027, berdasarkan margin 14% dan berpotensi ada kerja berulang daripada pelanggan.

 

Susulan itu, Phillip Capital mengekalkan penarafan 'beli' tetapi menaikkan TP kepada RM2.37 berbanding RM2.15, selepas menaikkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) menjadi 24 kali.

 

Unjuran ini sejajar rekod purata lima tahun dan firma tersebut melihat kumpulan itu antara penerima manfaat utama perkembangan DC di Malaysia, disokong anggaran 50% bahagian pasaran ELP domestik.

 

"Kami turut melihat ruang pertumbuhan besar bagi ELP apabila peluang kerja paip DC kapasiti 7GW berpotensi mewujudkan jumlah tender bernilai antara RM1.4 bilion hingga RM2.1 bilion," katanya.

 

Bagaimanapun, Phillip Capital mengingatkan risiko utama Pekat termasuk kelewatan pelaksanaan projek, persaingan, perubahan dasar tenaga boleh baharu dan turun naik harga panel solar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved