
Kota Kinabalu: Seorang pekerja am dihukum penjara keseluruhan tujuh tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap anak tirinya.
Lelaki berusia 38 tahun itu didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua pada Rabu.
Dalam penghakimannya mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah serta membuktikan semua elemen penting pertuduhan.
Mahkamah turut mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tertuduh didapati bersalah melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa kira-kira jam 11 pagi pada September 2021 di sebuah rumah tidak bernombor di Penampang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK), dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) manakala satu tahun penjara dan dua sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 16.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu dijalani secara berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman tujuh tahun penjara dan dua sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya serta berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman turut ditolak dan mahkamah memerintahkan dia mula menjalani hukuman pada Rabu.
Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil tiga saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan lima saksi.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim dan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili Yong Pei Yi, Dianne Denson dan Dicky Lo.
Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Seksyen 16 pula memperuntukkan hukuman penjara tambahan sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang daripada dua kali.






