
KOTA BHARU – Seorang pembantu jualan ubat tradisional didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan kontak fizikal bagi maksud seksual terhadap anak saudaranya ketika berusia 15 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual dan kontak fizikal bagi maksud seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun 10 bulan ketika kejadian.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di dalam bilik dan ruang tamu di sebuah rumah di Selising, Pasir Puteh dekat sini pada 10, 12 dan 13 Mei 2024.
Pertuduhan bagi ketiga-tiga kes dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan.
Terdahulu, Siti Arina tidak menawarkan jaminan terhadap ketiga-tiga pertuduhan dengan mengambil kira kes tersebut melibatkan jenayah seksual dan tertuduh dikhuatiri menganggu mangsa.
Nik Saiful dalam rayuannya memohon jaminan minimum dengan pertimbangan tertuduh sudah dua tahun tidak bertemu mangsa kerana berlaku pertengkaran antara keluarga mereka.
“Tertuduh juga mempunyai tiga anak yang masih kecil dan seorang isteri yang perlu disara,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu mengemukakan tempat tinggal tetap, tidak menganggu saksi pendakwaan dan mangsa selain melaporkan diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali.
Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Pembantu jualan ubat tradisional didakwa ‘sentuh’ anak saudara appeared first on Kosmo Online.




