
KUALA LUMPUR, 27 OKT: Seorang pekerja binaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif sebuah kondominium, April lepas.
Muhammad Aniq Mohd Jafri, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Aniq didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 12 tahun empat bulan bagi tujuan seksual di dalam lif sebuah kondominium di Taman Danau Desa, antara 6.30 petang hingga 6.50 petang pada 1 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15 (a) (i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya V Suloshani menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran kediamannya.
Pendakwaan turut memohon supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Muhammad Aniq yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan dengan alasan dia bekerja sebagai pekerja binaan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.






