Pekerja hotel dipenjara lima tahun, dua sebatan ‘sentuh’ anak tunang

4 Aug 2026 • 1:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pekerja hotel dipenjara lima tahun, dua sebatan ‘sentuh’ anak tunang

PASIR MAS: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman  penjara lima tahun dan dua sebatan ke atas seorang pekerja hotel selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang merupakan anak kepada tunangnya, di sebuah hotel di Tanah Merah, dekat sini bulan lalu.

Tertuduh berusia 34 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah bilik hotel di Tanah Merah, kira-kira pukul 3 pagi dan 11 pagi pada 24 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aisyha Nai’lah memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh mendapat kepercayaan daripada penjaga remaja itu untuk membawa dan menguruskan hal ehwal persekolahan mangsa.

Katanya, tertuduh bagaimanapun mengambil kesempatan dengan menempatkan mangsa di sebuah hotel sebelum melakukan amang seksual terhadap remaja itu.

Muhamad Nazaim dalam rayuannya memohon hukuman diringankan memandangkan perlu menyara keluarga kerana merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bersama satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan secara serentak.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengambil mangsa di rumah bapanya di Kuala Krai, dekat sini dengan alasan untuk menguruskan perpindahan sekolah remaja itu di Besut, Terengganu.

Mangsa bagaimanapun dibawa ke sebuah hotel di Tanah Merah di sini yang merupakan tempat tertuduh bekerja sebelum remaja itu dicabul ketika tidur.

Tertuduh juga mengatakan kepada mangsa ‘adik comel, papa sayang adik, adik kecil macam baby’ sebelum melakukan amang seksual terhadap remaja itu.

Mangsa bertindak melarikan diri dari hotel berkenaan sebelum dijumpai oleh orang awam yang membawa remaja berkenaan ke Ibu pejabat Polis Daerah Tanah Merah. – UTUSAN

 

The post Pekerja hotel dipenjara lima tahun, dua sebatan ‘sentuh’ anak tunang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved