
MELAKA – Tindakan majikan membenarkan seorang pekerja wanita warga Indonesia memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk membeli barang niaga membawa padah apabila kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, semalam.
Wanita warga asing berusia 32 tahun itu ditahan antara pukul 10 hingga 11 pagi dalam operasi penguatkuasaan JPJ di Jalan Chohong, di sini.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, tindakan penguatkuasaan diambil selepas wanita terbabit dikesan tidak memiliki lesen memandu sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan itu turut telah tamat tempoh.
“Pemandu dan pemilik kenderaan telah dikenakan saman bagi kesalahan yang dikesan.
“Kenderaan terbabit juga disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau berkata, pemilik kenderaan perlu memastikan kenderaan mereka hanya dipandu individu yang memiliki lesen memandu sah, selain memastikan dokumen berkaitan sentiasa dalam tempoh sah.
Katanya, JPJ Melaka akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan. – KOSMO! ONLINE
The post Pekerja Indonesia pandu tanpa lesen, kereta majikan disita appeared first on Kosmo Online.






