Pekerja kontrak selenggara jalan maut dilanggar lori

1 Oct 2026 • 9:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pekerja kontrak selenggara jalan maut dilanggar lori
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja kontrak penyelenggaraan jalan raya maut selepas dirempuh sebuah lori dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di Kilometer 18.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisoner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima makluman jam 7.30 pagi dan mangsa warga Pakistan berusia 47 tahun sedang melakukan kerja membuat garisan jalan semasa kemalangan berlaku.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang belum dikenal pasti menukar lorong secara tiba-tiba dari kanan ke kiri menyebabkan sebuah lori jenis Luton dari arah Kuala Lumpur ke Skudai dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun di lorong kiri hilang kawalan.

"Lori itu seterusnya melanggar bahagian belakang lori jenis Hino yang berada di lorong kecemasan bagi kerja penyelenggaraan menyebabkan mangsa yang berada di belakang lori Hino mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Tan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada pegawai penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed menerusi talian 013-306 3710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved