
ARAU – Dua beradik maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kuala Perlis-Changlun berhampiran Bukit Mas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 pagi itu, penunggang motosikal, Ahmad Rifaie Zambri, 42, dan adik perempuannya, Hakimah, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, siasatan awal mendapati MPV dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun sedang dalam perjalanan dari Kuala Perlis menuju ke Changlun, Kedah.
“Ketika MPV berkenaan bergerak lurus, motosikal dinaiki dua beradik itu yang berada di hadapan dipercayai mengubah haluan dari lorong kiri ke kanan secara tiba-tiba.
“Motosikal tersebut kemudian memasuki laluan MPV sebelum pemandunya cuba membrek dan mengelak, namun gagal berikutan jarak terlalu dekat,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, MPV berkenaan kemudian melanggar bahagian belakang motosikal menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.
Katanya, Ahmad Rifaie dan Hakimah yang berasal dari Kampung Semadong, Beseri dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE
The post Dua beradik maut dirempuh MPV appeared first on Kosmo Online.






