
SEBERANG PERAI – Motosikal bergerak seiring di sebelah kiri sebuah lori kontena dipercayai menjadi punca berlaku kemalangan maut di simpang tiga Jalan Perusahaan Sungai Lokan 6, Bagan Lalang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 68 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori kontena jenis Scania membelok ke simpang sebelah kiri untuk memasuki Jalan Perusahaan Sungai Lokan 6.
“Pada masa sama, penunggang motosikal bergerak seiring di sebelah kiri lori kontena sebelum berlaku pelanggaran pada bahagian sisi kiri hadapan lori,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori kontena berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, tular beberapa gambar kejadian dan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di media sosial sejak petang semalam. Difahamakan, kawasan berkenaan merupakan laluan keluar dan masuk treler. – KOSMO! ONLINE
The post Motosikal bergerak seiring kontena punca warga emas maut – Polis appeared first on Kosmo Online.






