BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja maut selepas terjatuh bersama struktur perancah dari tingkat lapan sebuah bangunan di tapak pembinaan, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja merombak perancah di tingkat berkenaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, kejadian berlaku selepas struktur sementara atau catch platform yang menampung struktur perancah itu runtuh.
"Akibat kejadian itu, mangsa bersama struktur perancah berkenaan terjatuh ke aras bawah.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Hairozie menambah, susulan kemalangan itu, pihaknya menjalankan siasatan awal sebelum mengeluarkan arahan supaya aktiviti kerja berkaitan dihentikan.
"Kita turut mengeluarkan larangan kacau ganggu di kawasan kejadian bagi memastikan lokasi berkenaan dikekalkan serta tidak diubah atau diganggu sehingga siasatan lanjut selesai.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17, Seksyen 18A dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) selain peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan berkaitan.
"JKKP memandang serius kejadian kemalangan maut terutama yang melibatkan kerja di tempat tinggi dan penggunaan perancah," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya memastikan setiap kerja berisiko berkenaan dirancang dan dilaksanakan secara selamat menerusi pentaksiran serta kawalan risiko yang berkesan.
"Ia termasuk menyediakan laluan naik dan turun yang selamat serta sistem perlindungan bagi mengelakkan pekerja daripada terjatuh ketika menjalankan tugas di tempat tinggi," katanya lagi.





