KUALA LUMPUR - Seorang wanita kelahiran Pulau Pinang yang menetap di Perth, Australia, maut, selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang pasangannya.
Mangsa, Kah Ming Tan, 28, ditemui tidak sedarkan diri di sebuah kediaman di Taree Street, St James, kira-kira jam 8.30 malam, 26 Ogos lalu.
Tan kemudian dikejarkan ke Royal Perth Hospital oleh pasukan St John WA, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Siasatan polis kini menjurus kepada kes pembunuhan yang mempunyai kaitan dengan keganasan rumah tangga.
Menurut polis, Tan dipercayai diserang pasangannya, Younis Qambari, 38 beberapa hari sebelum dimasukkan ke hospital.
Polis memaklumkan, kejadian itu dipercayai berlaku dalam konteks hubungan keluarga dan domestik antara mangsa dengan suspek.
Qambari telah didakwa atas pertuduhan membunuh dan kini berada dalam tahanan polis selepas hadir di Mahkamah Majistret Perth, Jumaat lalu.
Permohonan ikat jamin tidak dipertimbangkan dan dia dijadualkan kembali ke mahkamah pada September ini.

Tan dilaporkan pernah bersekolah menengah di Butterworth.
Dia meninggalkan tiga anak berusia tiga, lima dan tujuh tahun yang berada di kediaman berkenaan ketika dia meninggal dunia.
Kematian Tan disifafkan sebagai kehilangan besar kepada seluruh keluarga, dengan saudara kembarnya memberitahu 7NEWS Australia, mereka masih berusaha untuk menerima pemergian mangsa.
Keluarga Tan juga dilaporkan sudah lama bimbang mengenai keselamatannya sebelum kejadian itu berlaku dan mereka dikatakan telah menghubungi polis kira-kira tiga bulan sebelum kematian mangsa, selepas mendapati terdapat kecederaan pada tubuh Tan.
Sementara itu, Premier Australia Barat, Roger Cook, berkata, kematian Tan menjadi peringatan serius mengenai keperluan menangani keganasan berasaskan gender serta keganasan dalam institusi keluarga.
“Ini kedengaran seperti satu kejadian yang amat mengerikan, lebih-lebih lagi ia berlaku di hadapan kanak-kanak. Ingatan dan simpati kami kepada semua yang terkesan,” katanya seperti dipetik WA Today.
Cook berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan lebih A$800 juta dalam bentuk peruntukan tambahan sejak mengambil alih pentadbiran dan akan terus bekerjasama dengan komuniti serta kumpulan advokasi bagi menangani isu berkenaan.
Bagaimanapun, kumpulan yang memperjuangkan isu keganasan rumah tangga berpandangan, lebih banyak peruntukan diperlukan bagi menangani skala masalah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Domestic Violence Training and Support Institute, Jolene Ellat, berkata jumlah dana yang disediakan ketika ini masih jauh daripada mencukupi.
“Kita perlu melihat peningkatan pelaburan yang setimpal dengan skala krisis yang sedang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, keluarga Tan melancarkan kempen kutipan dana bagi membantu menanggung keperluan tiga anak mangsa selepas kematiannya.
Kempen berkenaan telah mengumpul kira-kira A$58,261 (RM171,000) ketika laporan ini ditulis.
Dana itu akan digunakan bagi menampung keperluan penjagaan anak, pendidikan, perbelanjaan harian serta keperluan mendesak lain sepanjang keluarga berdepan dengan kehilangan Tan. - Getaran, 10 September 2026






