
KUDAT: Seorang pekerja kontraktor warga Filipina berusia 56 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di luar pagar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lok Yuk Batu 1 di sini, pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat PKPgB Darikson Galanang berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan sedang menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di kawasan pagar sekolah berkenaan.
Katanya, ketika mereka melakukan kerja di kawasan pintu gerbang sekolah, tangga yang digunakan mangsa terkena kabel elektrik Sabah Electricity, menyebabkan mangsa terkena renjatan sebelum terjatuh.
Beliau berkata sembilan anggota bersama sebuah jentera bomba, kenderaan EMRS dan sebuah kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.31 pagi.
“Pasukan menghubungi Sabah Electricity untuk bantuan memutuskan bekalan kuasa bagi memastikan keselamatan anggota bomba, sebelum mangsa dapat dicapai.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kudat Supt Mohd Haris Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.






