Pekerja Menangis Lihat Pelanggan Mirip Arwah Bapa

24 Aug 2025 • 7:10 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Suasana di sebuah kedai kasut bertukar pilu apabila seorang pekerja wanita tidak dapat menahan sebak selepas melihat wajah seorang pelanggan yang mirip arwah bapanya.

Insiden Bermula di Kedai Kasut

Insiden berlaku ketika lelaki berkenaan datang bersama anak perempuannya untuk membeli selipar dan aksesori hiasan.

Pada awalnya pekerja bertudung hijau itu membantu seperti biasa, sebelum menyerahkan tugas kepada rakan sekerja lain.

“Ditakdirkan memang lama betul (kami) duduk dalam kedai itu, beli selipar sambil mencari hiasan untuk letak pada selipar.

“Memang dia (pekerja) perhatikan saja saya dan ayah memilih,” tulis anak pelanggan itu di ruangan kapsyen video yang dimuat naik menerusi TikTok qistinaa0811.

Tidak Mampu Menahan Sebak

Namun ketika di kaunter, pekerja berkenaan kembali menghampiri lalu tiba-tiba menangis hingga terpaksa meminta bantuan majikan.

Menurut majikannya, gadis itu terlalu sedih kerana wajah pelanggan tersebut seiras dengan arwah bapanya yang meninggal dunia tahun lalu.

“ALLAH… saya sudah tak tahan, ikut menangis juga, ayah pun sama. Kami berdua memang sensitif.

“Lepas itu, dia duduk di tepi meraung, menangis sambal lap (air mata) dengan tudungnya.

“Ayah terus tanya dia orang mana, katanya dari Semporna, Sabah,” ujarnya.

Pelukan Penuh Kerinduan

“Ayah tanya nak ambil gambar tak? Dia pusing mengangguk laju sambil menangis, jadi ayah pun pergi. Dia terus meluru peluk ayah.

“Lama dia peluk kemudian salam tangan ayah. Nampak sangat dia betul-betul rindu akan susuk seorang bapa.

“Lepas peluk salam memang berkali-kali dia minta maaf kepada kami.

“Terdetik di hati, nikmat ALLAH mana lagi yang aku dustakan. Rezeki umur ayah panjang dan masih ada depan mata. Tatkala orang lain dah tiada ayah,” ungkapnya.

Hargai Selagi Masih Ada

Kisah ini jadi ingatan buat semua, selagi masih ada ibu bapa di sisi, hargailah mereka sepenuh hati kerana tidak semua orang diberi peluang yang sama. – The Malaysian Update

The post Pekerja Menangis Lihat Pelanggan Mirip Arwah Bapa appeared first on The Malaysian Update.