IPOH - Seorang pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun sehingga melahirkan anak, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Al-Fierus Syarkawie Mohd Khamis, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah flat di Jalan Hospital, Ipoh dalam daerah Kinta kira-kira jam 5.15 petang pada 1 September 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afrahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan RM22,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tidak mendekati dan mengganggu mangsa sepanjang prosiding serta melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.
Jumlah jaminan itu dicadangkan lebih tinggi kerana kes berkenaan pernah disebut di mahkamah sama pada 11 Jun 2025, namun tertuduh gagal hadir sehingga waran tangkap dikeluarkan.
Mahkamah dimaklumkan, tertuduh dan mangsa mula berkenalan menerusi dalam talian sebelum bertemu secara bersemuka. Hubungan mereka kemudian berkembang sehingga mempunyai anak bersama.
Perkara itu diketahui ibu mangsa selepas remaja berkenaan memaklumkan bahawa dirinya hamil.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan dengan bekerja di sebuah restoran.
Lelaki itu yang masih bujang turut memaklumkan kegagalannya menghadiri prosiding terdahulu kerana tidak mengetahui tarikh berkenaan kerana tidak dimaklumkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes selesai.
Tarikh 2 Disember depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.






