
TAWAU: Seramai 14 remaja lelaki berumur 12 hingga 14 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes rusuhan menggunakan senjata melibatkan sekumpulan pelajar di Taman Permainan Ambar Park, Jalan Kuhara, di sini, kira-kira jam 6 petang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Rosdi Mat Jusoh (gambar) berkata hasil siasatan awal polis menunjukkan kejadian terbabit pada mulanya tercetus selepas berlaku perselisihan faham antara dua pelajar sebelum sekumpulan remaja lelaki yang lain turut terlibat.
“Usaha mengesan semua mereka yang terlibat termasuk menjalankan siasatan kes rusuhan ini dikendalikan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) pada Rabu,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Rosdi berkata rakaman klip video yang tular di media sosial berkaitan pergaduhan yang berlaku turut membantu pihak polis dalam mengenalpasti setiap individu dan peranan mereka yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.
Mengulas lanjut pihak polis turut melakukan dua rampasan barang kes membabitkan satu unit telefon pintar jenama iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan yang dijalankan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada remaja tempatan sementara seorang warga asing yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah akan turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/ 63”, katanya.
Beliau berkata ketika ini polis juga masih meneruskan siasatan kes pergaduhan terbabit bagi menentukan jenis penglibatan dan peranan setiap mereka yang ditangkap dengan tindakan diambil mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Menurutnya pihak polis turut mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan tangkapan, mendapatkan laporan perubatan mangsa serta menjalin kerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau.
“Orang ramai yang melihat kejadian atau memiliki maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir di balai polis berhampiran.
“Polis Daerah Tawau memberi amaran tegas bahawa sebarang tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan sebarang objek sebagai senjata adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi,” katanya.
Rosdi turut mengingatkan golongan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak mereka, sementara pelajar pula diingatkan jangan terlibat dalam pergaduhan, melakukan provokasi atau menyertai kumpulan yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.






