
IPOH – Seorang pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun sehingga hamil.
Tertuduh, Mohamad Al-Fierus Syarkawie Mohd. Khamis, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Pemuda itu didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun enam bulan ketika kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Hospital, dalam daerah Kinta di sini pada pukul 5.15 petang, 1 September 2023.
Oleh itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afrahanim Azureen Arfanuddin mencadangkan jaminan RM22,000 terhadap tertuduh selain dilarang mendekati atau mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.
Menurut beliau, jumlah jaminan tinggi dipohon kerana kes itu pernah disebut di mahkamah sama pada 11 Jun 2025, namun tertuduh gagal hadir menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
“Tertuduh dan mangsa berkenalan menerusi dalam talian sebelum bertemu. Hubungan mereka berkembang sehingga mempunyai seorang anak.
“Ibu mangsa mengetahui perkara itu selepas gadis tersebut memberitahu dia hamil,” katanya.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan yang minimum dengan alasan memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan dan tinggal bersama bapa selepas ibu bapanya bercerai.
Ketika ditanya hakim mengenai kegagalannya menghadiri prosiding terdahulu, tertuduh berkata dia tidak mengetahui tarikh tersebut kerana tidak dimaklumkan mengenainya.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes selesai.
Tarikh 2 Disember ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Pekerja restoran tidak mengaku rogol kenalan media sosial sampai hamil appeared first on Kosmo Online.





