
PETALING JAYA – Ketika warga Selangor menikmati cuti umum hari ini, penduduk negeri itu yang bekerja di Kuala Lumpur terpaksa meneruskan rutin harian seperti biasa, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Situasi itu turut dapat dilihat menerusi keadaan jalan raya di sekitar Petaling Jaya terutama Lebuh Raya Persekutuan yang lebih lengang berbanding kebiasaan, sebelum kembali sesak apabila memasuki ibu negara.
Seorang pengguna media sosial, Mariam berkongsi pengalamannya ketika keluar bekerja apabila mendapati keadaan jalan raya di sekitar Petaling Jaya lengang, berbeza dengan suasana di Kuala Lumpur.
“Hari ini bangun pagi keluar rumah lengang jalan area (kawasan) Petaling, masuk KL back to normal (kembali seperti biasa). Selangor cuti, tapi penduduk Selangor tak semua cuti. Kita jiran Selangor tetap kerja,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Iqhwan Ismail, turut menyuarakan reaksi bersahaja dengan mengucapkan selamat bercuti kepada warga Selangor, sedangkan mereka yang bekerja di ibu negara masih perlu menjalankan tugas.
“Selamat bercuti warga Selangor, kami di KL tumpang gembira,” katanya.
Seorang pengguna, Azwan pula berkongsi nasibnya yang sudah 27 tahun membesar di Selangor ,namun masih perlu bangun awal dan menunggang motosikal ke tempat kerja di Kuala Lumpur ketika negeri itu bercuti.
“Hai lah nasib badan, 27 tahun membesar di Selangor, bila Selangor cuti, anak jati negeri Selangor masih kena bangun pagi, hidupkan motor dan berlalu ke kerja dekat KL,” kongsinya.
“Inilah namanya kongsi sama rata, tak semua IC (kad pengenalan MyKad) 10 boleh cuti bila Sultan Selangor umum cuti,” kata pengguna @mltn_q.
Seorang lagi pengguna pula berkongsi pengalamannya yang perlu memohon cuti tahunan kerana bekerja di Selangor, namun syarikatnya tidak mengambil cuti umum berkenaan.
“Nasib saya pula, kerja Selangor tapi syarikat tak ambil cuti, maka saya apply (mohon) AL (cuti tahunan). Selesai masalah,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Selangor mengumumkan 26 Oktober sebagai Hari Kelepasan Am Gantian bagi seluruh negeri itu bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin sebelum ini berkata, pengisytiharan cuti gantian itu dibuat berikutan tarikh sambutan kemuncak serta Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) pada 25 Oktober jatuh pada Ahad. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Pekerja Selangor cuti, kami duduk Selangor kerja KL tumpang gembira’ appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Peminat Malaysia jumpa Junho sampai ‘lupa nak bernafas’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/junho-1024x768.jpeg)
