![Image from: [VIDEO] Peminat Malaysia jumpa Junho sampai ‘lupa nak bernafas’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/junho-1024x768.jpeg)
PETALING JAYA – “Nampak Junho terus lupa nak bernafas!” itu antara komen mencuit hati peminat artis Korea Selatan yang teruja melihat pelakon dan penyanyi terkenal Korea Selatan, Lee Jun-ho, ketika kunjungannya ke Malaysia kelmarin.
Junho yang popular menerusi drama romantik King The Land itu baru sahaja melawat Malaysia sempena ulang tahun sebuah produk terkenal membuatkan peminat rakyat Malaysia teruja.
Kali terakhir dia berkunjung ke negara ini adalah pada 2023 bersama kumpulannya 2PM.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna @adilahtarmizi menyifatkan Junho sebagai antara artis Korea paling baik pernah ditemuinya.
“Dalam banyak-banyak artis Korea yang datang, Junho yang paling baik saya pernah jumpa, dia memang tersenyum di lapangan terbang sehingga balik saja,” kongsinya.
Kehadiran Junho turut mencetuskan harapan dalam kalangan peminat agar penyanyi itu membawa kumpulan 2PM untuk mengadakan konsert di Malaysia.
“Tolonglah abe Junho, buat konsert jelajah 2PM di Malaysia. Tengok datang solo macam ini pun dah gembira, bayangkan datang sebagai satu kumpulan,” komen laminanina_.
Gelagat peminat turut mencuit hati apabila seorang pengguna media sosial berseloroh wajah Junho sahaja sudah cukup membuatkan dirinya teruja.
“Nampak Junho terus lupa nak bernafas. Tengok muka pun dah wangi,” tulisnya.
“Hensemnya dia, dah la muka macam Yoona. Tak apalah, tak dapat tengok depan-depan, dalam Threads ini pun jadilah. Macam nak kena ulang tengok drama King the Land!” komen seorang lagi peminat. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Peminat Malaysia jumpa Junho sampai ‘lupa nak bernafas’ appeared first on Kosmo Online.






