Remaja maut dalam perjalanan menuju ke surau

10 Mar 2026 • 3:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Salah sebuah motosikal yang terlibat kemalangan di Jalan Kampung Dato Hormat, Sungai Air Tawar di sini pada Isnin.

SABAK BERNAM - Seorang remaja lelaki yang dalam perjalanan menuju ke surau maut dilanggar di Jalan Kampung Dato Hormat, Sungai Air Tawar di sini pada malam Isnin.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu mengakibatkan mangsa warga tempatan berusia 14 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dalam perjalanan dari rumah menuju ke surau di kawasan itu.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa yang keluar membelok ke kanan jalan dilanggar sebuah motosikal Yamaha Y16ZR dari arah belakang.

"Perlanggaran itu menyebabkan remaja itu tercampak dan mengalami kecederaan di kepala serta dalaman perut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Md Yusof memberitahu, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 9.14 malam.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-3328212 bagi membantu siasatan

Salah sebuah motosikal yang terlibat kemalangan di Jalan Kampung Dato Hormat, Sungai Air Tawar di sini pada Isnin.