
IPOH – Rizab unsur nadir bumi (REE) yang bernilai tinggi dalam pasaran global memerlukan komitmen pelabur antarabangsa berkongsi kepakaran teknologi, peraturan serta undang-undang, hak paten serta menjaga rahsia perdagangan melibatkan negeri-negeri pengeluar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, REE sememangnya mendapat permintaan yang tinggi memerlukan dimanfaatkan sepenuhnya melibatkan keseluruhan rantaian perlombongan.
“Komitmen daripada pelabur (antarabangsa) yang datang nak bekerjasama dalam (perlombongan) REE ini mestilah bawa teknologi, berkongsi dengan kita dan terlibat dalam secara langsung daripada sektor huluan, pertengahan serta hiliran.
“Kita carilah orang (pelabur) boleh buat yang sanggup melakukannya dan berkongsi teknologi ” katanya di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada Hari Pelaburan di Perak 2026 anjuran InvestPerak yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Johari berkata, kerjasama strategik bersama pelabur antarabangsa membolehkan negara mempelajari peraturan, undang-undang dan ketersediaan teknologi.
“Kita perlu menjaga paten-paten atau rahsia perdagangan negeri-negeri yang ingin terlibat ini perlu ada. Mesti ada penjagaan kerahsiaan kepada rakan (pelabur antarabangsa),” katanya.
Perak, Negeri Sembilan dan Johor merupakan antara negeri yang menjalankan aktiviti perlombongan nadir bumi REE.
Berhubung konflik berterusan Amerika Syarikat dan Iran berkaitan laluan strategik Selat Hormuz yang memainkan peranan penting dalam sektor tenaga global, Johari memaklumkan ia turut memberi kesan kepada negara.
“Sebarang gangguan terhadap sektor tenaga akan memberi kesan kepada keseluruhan industri termasuk Malaysia. Malaysia mempunyai kedudukan lebih baik berbanding negara yang tidak mempunyai sumber minyak dan gas,” katanya.
Ujarnya, krisis Selat Hormuz itu lebih kepada sektor tenaga.
“Bila sektor tenaga ini terjejas, semua industri akan terjejas. Kita sebenarnya dari segi minyak masih pengimport bersih, tetapi gas masih pengeksport bersih.
“Jadi kita akan terjejas seperti mana negara-negara lain terjejaslah. Tetapi tidak seteruk negara yang tidak mempunyai (sumber) minyak dan juga gas,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pelabur antarabangsa perlu berkongsi teknologi perlombongan REE appeared first on Kosmo Digital.






